Wednesday, October 22, 2008

Hak DaLam IsLaM Yg MeSti diPeLihARa....

Islam sebagai satu-satunya agama yang diperakui di sisi Allah SWT, tidak pernah meninggalkan sesuatu ajarannya dengan kabur hingga manusia menjadi celaru dan meraba-raba hingga boleh membawa kesesatan yang tidak berkesudahan.

Justeru, antara ajaran Islam yang jitu lagi terarah kepada kebenaran, ia memperkenalkan kepada manusia sejagat beberapa ketentuan hak yang mesti ditunai dan dihormati iaitu; hak kepada Allah, hak kepada Rasulullah, hak kedua ibu bapa, hak muslim sesama muslim yang lain dan hak jiran adalah antara ajaran Islam yang berjaya membentuk jati diri muslim yang unggul dari segi pegangan, kepercayaan dan pelaksanaan hidup yang diredai Allah.

Inilah yang membezakan antara keunggulan agama Islam dengan agama-agama yang lain di dunia, ia tidak lebih daripada pengaruh atau pendekatan individu tertentu yang berkepentingan, malah ia bersifat terbatas dan sesuai pada waktu tertentu sahaja, malah Islam yang diperkenalkan oleh Allah SWT sejak azalai lagi yang sifatnya serba sempurna menjana pendekatan, ajaran serta hala tuju yang jelas untuk memartabatkan bangsa manusia ke arah kecemerlangan mutlak di sisi-Nya.

Sesungguhnya dengan pelaksanaan hak-hak yang diperkenalkan Islam itu, maka manusia menuju ke jalan kesempurnaan yang dijanjikan Allah SWT.

Hak kepada Allah
Allah SWT adalah matlamat hidup setiap muslim, Dialah yang menjadikan segala-galanya di muka bumi ini untuk kelangsungan kehidupan mereka tanpa sebarang masalah, ia juga adalah kemudahan buat mereka untuk melakukan ibadat kepada-Nya, justeru hak Allah yang mesti ditunaikan oleh setiap manusia adalah seperti berikut :
1. Mentauhidkan-Nya pada zat, nama, sifat dan perbuatan-Nya dengan kefahaman yang mendalam pada Tauhid Uluhiyyah dan Rububiyyah.

2. Tidak beribadat melainkan hanya kepada-Nya, kerana Dialah Yang Mencipta, Memberi rezeki dan menerima segala permohonan hamba-hamba-Nya.

3. Bersyukur kepada-Nya atas segala nikmat yang tidak terhingga, nikmat hidup, kesihatan, makanan dan lain-lain.


Hak kepada Rasulullah
Perutusan baginda Rasulullah sebagai nabi dan rasu l terakhir merupakan satu nikmat yang paling besar kepada seluruh manusia, kerana kerasulan baginda adalah untuk mengeluarkan manusia dari kegelapan hidup kepada cahaya dan menunjuk-ajar mereka kejalan kebenaran.

Hak Rasul yang wajib umat Islam tunaikan ialah dengan mencintainya, mentaati ajarannya, melaksana ajaran dan meninggalkan laranga nnya.


Hak kedua ibu bapa
Islam amat menitik-beratkan persoalan institusi kekeluargaan yang berasaskan kasih-sayang, antara ajaran Islam ialah menghormati kedua ibu bapa yang diletakkan selepas taat kepada Allah dan Rasulullah.

Kedua; ibu bapa berhak untuk dihormati, ditaati serta dipatuh segala perintah keduanya seperti yang diarahkan Allah dalam al-Quran.

Menurut ajaran Islam, seorang ibu lebih perlu ditaati, kerana ibu telah mengandungkan anak-anaknya, melahir dan menyusukan mereka, hal ini diperakui oleh baginda Rasulullah menerusi sebuah hadis ketika seorang lelakai bertemu baginda dan bertanya, "Wahai Rasulullah! Siapakah di kalangan manusia yang berhak untuk ditaati perintahnya," baginda menjawab,"Ibumu" (sebanyak 3 kali) dan pada kali keempat barulah baginda sebut ayahmu.


Hak muslim sesama muslim
Umat Islam sesama mereka adalah bersaudara, bagaikan batu-bata yang memperkukuh bangunan antara satu sama lain, mereka berkasih-sayang kerana Allah berasaskan ajaran al-Quran dan petunjuk baginda Nabi Muhammad s.a.w untuk menuju satu umat yang kuat.

Justeru bagi mengekalkan kasih sayang yang sedia ada, Islam menganjurkan agar mereka menunaikan hak-hak bagi tujuan tersebut, antara lain menjawab salam, menziarahi ketika mereka sedang sakit, sahut undangannya, mendoakan ketika bersin, mengurus jenazah hingga ke perkuburan.

Kesemua hak jika dapat dilakukan dengan baik, umat Islam pasti akan berjaya dan mampu menghadapi sebarang kemungkinan khususnya ketika mereka berada di zaman yang penuh dengan fitnah sekarang ini.



Hak kejiranan
Jiran merupakan anggota masyarakat yang paling hampir dengan diri kita, dia diumpamakan oleh baginda sebagai anggota tubuh badan manusia, malah digambarkan sebagai golongan yang sepatutnya boleh menerima harta pusaka.

Hak yang sepatutnya diberikan kepada jiran antara lain, memberi salam jika mereka orang Islam, menjenguknya jika sakit, mengucapkan takziah atas sesuatu musibah, mengucapkan tahniah atas sesuatu kegembiraan, menasihatinya jika tidak menutup aurat dengan sempurna, bersabar atas karenahnya.

Islam melarang umatnya dari menyakiti jiran, menggangunya, apatah lagi mencuri harta bendanya, malah mereka patut dibri sokongan untuk meneruskan kehidupan jika didapati mereka berada dalam kesempitan.

Dan banyak lagi yang tak dapat nak disenaraikan satu persatu dalam kesempatan yang terbatas ini, namun sebagai muslim yang iltizam dengan Islam, meyakini bahawa segala ajaran, tunjuk ajar serta arahan yang disampaikan oleh baginda Rasulullah s.a.w itu terdapat konsep pendidikan (tarbiah) yang mampu melahirkan sebaik-baik umat yang dilahirkan buat umat manusia sejagat.

0 comments: